27 September 2009

SEJARAH BALIK PULAU



Balik Pulau

Balik Pulau merupakan kawasan yang termaju di Kawasan Barat. Nama Balik Pulau adalah sempena dengan perletakan kawasan ini, iaitu di sebalik Pulau Pinang. Dari segi sejarah, Balik Pulau adalah kawasan yang paling awal dibangunkan di Kawasan Barat. Pekan Balik Pulau pula merupakan kawasan utama pusat perniagaan di Balik Pulau dan juga Kawasan Barat. Asal- usul sejarah Balik Pulau menunjukkan bahawa penduduk asal Balik Pulau terdiri daripada penghijrah- penghijrah Melayu dari negeri Kedah. Pada tahun 1821, Siam telah menyerang Kedah dan mentadbirnya selama 22 tahun. Penjajahan ini telah membawa kepada banyak kerosakan dan menyebabkan kesengsaraan kepada penduduk di negeri itu, mengakibatkan penduduknya menghijrah keluar untuk mencari kehidupan baru.

Sesetengah daripada penghijrah- penghijrah ini telah meneroka tanah Balik Pulau dan mendirikan perkampungan Melayu yang menjalankan aktiviti pertanian. Lama- kelamaan, persekitaran yang sesuai untuk bercucuk tanam menyebabkan Balik Pulau terkenal sebagai kawasan pertanian terutamanya buah- buahan tempatan. Perkembangan ini telah menggalakkan penghijrahan penduduk luar datang untuk berurusniaga ataupun menjalankan kegiatan pertanian. Golongan ini kebanyakannya merupakan peniaga atau buruh- buruh Cina yang bekerja di ladang- ladang getah, buah cengkih dan buah pala.

Ketua kaum Cina yang paling berpengaruh di Balik Pulau adalah Koh Seang Tat, seorang pemilik estet ladang. Pada 1882. Beliau telah membina monumen air pancutan di bulatan persimpangan masuk ke pekan ini, dan kini masih merupakan mercu tanda utama untuk Pekan Balik Pulau.

Pada tahun 1854, Gereja Roman Katolik, Holy Name of Jesus dibina di sini sebagai tanggungan Kariah Pulau Tikus. Paderi- paderi gereja inilah yang telah menubuhkan sekolah- sekolah St. George dan Sacred Heart di Balik Pulau. Pada masa itu juga, banyak rumah kedai dibina.

Orang- orang India juga berhijrah ke Balik Pulau sebagai buruh- buruh estet ladang atau pekerja- pekerja Majlis Perbandaran pada tahun 1880an. Beberapa institusi dan agensi perkhidmatan telah diwujudkan di Balik Pulau untuk menampung keperluan penduduk tempatan yang semakin berkembang. Di antaranya adalah Jabatan Tanah dan Daerah yang dibina pada 1880an. Namun, masih terdapat banyak perkampungan Melayu dan Cina di Balik Pulau seperti Kampung Kuala Sungai Jalan Baru, Kampung Paya dan Kampung Jalan Baru. Kini, Balik Pulau masih terkenal dengan ladang-ladang buah pala, buah cengkih dan dusun- dusun buah- buahannya dan menjadi tumpuan utama kepada peniaga buah-buahan dan pengunjung yang ingin menikmati hasil dusun. (Maklumat yang diperolehi dari MPPP).

0 ulasan: